Tuesday 15 March 2011

Analisis Artikel Kesan Kebiadaban Dunia Siber

            Artikel ‘kesan kebiadaban dunia siber’ hasil tulisan Dr Rahmat Ghazalli yang bertarikh 18 April 2010 telah menarik perhatian ramai berhubung sumbangan dunia siber dalam menghasilkan masyarakat yang biadap dalam mengekspresi idea mereka. Dalam artikel tersebut, penulis telah menjelaskan beberapa perkara termasuk salah faham yang timbul dalam masyarakat berhubung dengan terminologi kebebasan siber atau internet. Ini sememangnya benar jika dilihat dari perspektif penggunaan bahasa yang tidak lansung melambangkan budi bahasa masyarakat Malaysia. Keadaan ini mungkin disebabkan oleh ketidakpuasan hati oleh sebilangan masyarakat. Oleh kerana ketiadaan sumber lain yang boleh mengetengahkan emosi dan pendapat radikal mereka,  sesetengahnya berpaling kepada dunia siber yang boleh menjanjikan mereka kebebsan tanpa kekangan dalam menyuarakan pendapat mereka. Perkara ini menyebabkan mereka sama ada alpa tentang akta media seperti Akta Fitnah dan Akta Hasutan atau kerana kurangnya pengetahuan mereka dalam bidang undang-undang.
            Sikap yang tidak bertanggungjawab ini menjadi petanda bahawa masih ada segelintir masyarakat yang mahu pendapat mereka didengari oleh kerajaan. Malangnya ia dilakukan dengan cara yang tidak beradap. Oleh itu, ia seolah-olah dilihat sebagai satu bangkangan terhadap usaha kerajaan untuk mengharmonikan keadaan sosial di Malaysia. Walau bagaimanapun, tidak dapat dinafikan ada pihak yang mahu mengambil kesempatan dengan mengagalkan usaha harmoni kerajaan. Ini mungkin disebabkan sentimen perkauman yang dipupuk sejak kecil atau dalam istilah sosiologi ia disebut etnosentrik. Perkara ini mungkin dapat dikurangkan melalui pendidikan sama ada secara rasmi atau tidak rasmi dalam memupuk semangat bersatu padu. Cara in imungkin mengambil masa yang lebih lama berbanding kempen budi bahasa namun ia lebih efektif dalam menerapkan nilai murni dalam diri kanak-kanak atau generasi muda. Sebelum itu, terdapat beberapa langkah yang harus diambil bagi mencapai objektif ini terutama sekali dari segi ekonomi dan strata sosial yang semakin lama semakin menjarak di antara kaum.
            Dalam artikel tersebut, penulis juga melakukan kajian yang diperoleh dari enjin carian Google yang mempamerkan ratusan ribu caci–maki antara kaum. Kajian ini boleh dilihat dari sudut positif oleh kerajaan dengan mengambil statistik ini sebagai kayu ukur sejauh mana perpaduan kaum di Malaysia dan sejauh mana keberkesanan kempen 1Malaysia yang diuar-uarkan oleh pihak kerajaan yang boleh diterjemahkan sebagai efektif. Oleh itu, kerajaan harus mengambil langkah drastik untuk melaksanakan usaha yang lebih bagi mencapai objektif utama wawasan 1Malaysia. Sebagai contoh, kerajaan boleh mempamerkan penghargaan dalam hak-hak dan sumbangan kaum yang lain seperti insentif pendidikan. Selain itu, kerajaan boleh mewujudkan satu medium di mana masyarakat boleh menyuarakan pendapat mereka tanpa rasa gusar. Usaha ini haruslah telus dan bukan demi kepentingan politik semata-mata.
            Kebebasan berinteraksi dalam dunia siber haruslah dipandang secara serius dan bukannnya tempat untuk melampiaskan rasa tidak puas hati atau amarah yang terpendam. Cara ini hanya akan memburukkan lagi keadaan perpaduan kaum di Malaysia. Individu perlu ada etika yang dipegang sebagai sandaran bagi mempamerkan ketamadunan manusia. Malah, usaha kerajaan dalam mengurangkan kekangan bersuara kepada rakyat harus dipuji dan digunakan dengan wajar bagi kebaikan semua.

No comments:

Post a Comment